Wednesday, April 15, 2009

Cuci Tangki Radiator

ANTARA komponen yang mudah dilihat pada bahagian enjin setiap kenderaan ialah sistem penyejukan atau lebih dikenali sebagai radiator.

Tugas utama sistem itu ialah untuk meminimumkan suhu panas enjin kenderaan ketika ia berfungsi kerana tanpa kewujudan sistem itu, boleh menyebabkan enjin kenderaan anda mudah panas dan terbakar.


Justeru, sebagai pemilik kenderaan, anda perlu memastikan paras air dalam tangki radiator sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Tugas seperti itu sama seperti yang dilakukan pada minyak pelincir.

Kebanyakan radiator dipasang pada bahagian depan enjin atau secara tepat di belakang jejaring. Kedudukannya sudah diuji dan sesuai kerana mudah menyejukkan enjin dengan tolakan angin ketika kenderaan bergerak.

Bagaimanapun, ada sesetengah model kenderaan menempatkan radiator pada bahagian sebelah enjin sama ada kiri atau kanan.

Sistem itu mungkin dianggap kurang berkesan tetapi angin masih mampu mengalir di sebelah jejaring radiator berbanding jenis yang dipasang di bahagian depan enjin.

Radiator mengandungi tiga bahagian utama iaitu atas, jejaring radiator dan tangki bawah. Jejaring radiator mempunyai ratusan lubang kecil yang berfungsi sebagai penyerap air yang mengalir dari atas ke bawah tangki.

Pengaliran itu berlaku mengikut pusingan bahagian penyejuk pada bahagian enjin berkenaan. Jadi, setiap kali air mengalir ke lubang berkenaan akan menghasilkan air sejuk dengan bantuan angin ketika kenderaan bergerak.

Bagi sesetengah kenderaan, ia menggunakan radiator jenis pengaliran melintang iaitu sejenis sistem yang dianggap memberi manfaat kepada enjin yang melakukan kerja atau tugasan berat.

Cara radiator berfungsi ialah menerusi pusingan air dari tangki ke kedua-dua saluran tiub yang dipasang ke bahagian atas dan bawah tangki enjin.

Kegagalan pusingan itu berfungsi akan menyebabkan enjin menjadi panas.

Kebiasaannya, ada beberapa sebab masalah itu berlaku, antaranya tangki tersumbat oleh kepingan logam atau tangki berkarat kerana jarang dibersih dan dicuci.

Oleh itu, sebagai pemilik kenderaan dan bagi memastikan radiator sentiasa berfungsi dengan baik, anda dinasihatkan mencuci tangki dari semasa ke semasa bagi mengelakkan terjadi karat pada bahagian berkenaan.

Kekaratan itu bukan sahaja boleh menyebabkan pengaliran air dari bahagian tangki ke bahagian enjin tersumbat, malah boleh berlaku kebocoran sama ada pada tangki sendiri atau dua tiub getah yang bersambung ke tangki itu.

Untuk mengatasi masalah itu berlaku, antara cara mengelak berlakunya karat ialah dengan mencampurkan air dengan kimia yang disyorkan di kedai aksesori kenderaan.

Selain itu, ada juga sesetengah pemilik kenderaan yang mencampurkan bahan penyejuk (coolant) ke tangki supaya dapat mengurangkan suhu panas ketika enjin bergerak.

Bagi kenderaan model baru, ia biasanya dilengkapi dengan tangki tambahan yang diletakkan bersebelahan. Tangki itu berfungsi sebagai air simpanan bagi menampung bekalan air ketika tangki kekurangan air.

No comments: