Wednesday, April 15, 2009

Exora Terbaik Dalam Kelasnya

ORANG ramai yang berminat menjadi antara pemilik terawal kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton kini boleh membuat tempahan selepas pelancaran nama model berkenaan diumumkan, baru-baru ini.

Model MPV nasional pertama yang dikenali sebagai Exora itu diilhamkan Norsholihan Abd Eanich, 29, selepas menewaskan 251,763 penyertaan lain dalam peraduan MPV Naming Contest, September lalu.

Pengenalan nama berkenaan diumumkan Pengerusi Proton Holdings Bhd, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh, sekali gus membuka tempahan kepada umum.

Hadir sama Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan pemenang utama peraduan itu, Nor Sholihan Abd Eanich.

Mohd Nadzmi mengakui ia adalah kereta terbaik, pada harga terbaik dan sesuai untuk rakyat negara ini yang masih mencari kenderaan bertaraf MPV.

Harga di bawah RM80,000 seunit pasti mendapat sambutan apabila dilancarkan secara rasmi, April ini.

Harga itu adalah maksimum bagi versi tertinggi Exora, H-line dan Proton berkerja keras meningkatkan kualiti dan prestasi ahli keluarga terbarunya itu.

"Exora dijana enjin CamPro CPS 1.6L dengan kapasiti tujuh tempat duduk direka bagi memenuhi keperluan masyarakat.

"Proton Exora bakal menjadi kenderaan terbaik dalam kelasnya daripada segi ruang dan satu-satunya keluaran Proton dilengkapi beg udara berkembar," katanya.

Proton akan mengeksport MPV itu ke Thailand dan Indonesia Julai nanti.

"Proton membelanjakan RM450 juta bagi membangunkan MPV pertama negara termasuk RM60 juta hingga RM70 juta bagi kos pengubahsuaian kilang di Shah Alam," katanya.

Tempahan boleh dibuat di cawangan Proton Edar dan EON dengan bayaran muka serendah RM1,000.

Lima warna ditawarkan iaitu Genetic Silver, Tranquility Black, Blue Haze, Pyrite Brown serta Gaia Blue.

Difahamkan, Proton sudah menerima lebih 700 tempahan walaupun kenderaan terbabit belum didedahkan.

No comments: