Thursday, April 16, 2009

Exora Merevolusikan Segmen MPV

Oleh JOHARDY IBRAHIM
johardy.ibrahim@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 15 April - Kenderaan pelbagai guna (MPV) keluaran pertama syarikat kereta nasional, Proton Exora dijangka merevolusikan segmen MPV dalam pasaran automotif Malaysia menerusi penampilan reka bentuk dan harganya yang sangat berdaya saing.

MPV ini yang mula dibangunkan daripada sekadar idea lebih 18 bulan yang lalu, adalah sebenar-benar kenderaan buatan Malaysia dari segi konsep, reka bentuk hinggalah kepada pembikinannya.

Exora yang menggunakan enjin Campro CPS 4 silinder, DOHC 16 injap 1.6 liter ditawarkan dalam dua varian yang kedua-duanya menggunakan transmisi automatik iaitu M-Line berharga RM69,998 dan H-Line RM75,998. Semua harga adalah atas jalan dengan insurans. Model transmisi manual akan menyusul kemudian.

Enjin Campro berkenaan mampu menjana 125 kuasa kuda pada 6,500 revolusi per minit (rpm) dan kuasa terjahan 150 Newton meter pada 4,500 rpm. Ia boleh mencapai kelajuan maksimum 165 km sejam walaupun uji pandu penulis automotif mengesahkan ia boleh ditekan hingga 170 km/j di kawasan Genting Sempah. Tangki penuh MPV ini ialah 55 liter.

Dari aspek pengendalian, uji pandu khas untuk penulis automotif mendapati kenderaan tidak 'terbuang' semasa mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Ini didorong oleh sentuhan Lotus dalam aspek tersebut.

Dibina untuk mengangkut tujuh penumpang dengan selesa, Exora memiliki corong pendingin hawa pada setiap baris tempat duduknya yang juga cukup untuk orang dewasa dari segi keluasan kerusi dan ruang kaki pada baris ketiga. Kerusi bersarung kulit terdapat pada varian H-Line.

Exora juga boleh dijadikan kenderaan pengangkut dengan kerusinya boleh diubah kepada enam kedudukan, termasuk dirata sepenuhnya untuk kerusi tengah dan terakhir.

Dari segi reka bentuknya, ia memaparkan jeriji depan yang sporty yang memaparkan logo kepala harimau di tengah dan besi krom umpama sayap. Ia adalah standard dengan kebanyakan model terkini Proton seperti Satria Neo, Gen.2 dan Saga. Kaedah ini bersamaan dengan amalan syarikat global yang mengekalkan identiti produk masing-masing.

MPV Proton ini juga dipasang dengan modul kawalan badan (BCM) iaitu gabungan pelbagai fungsi elektronik kenderaan seperti kunci sepusat, penggera keselamatan, lampu kecemasan dan penentu masa ke dalam satu modul kawalan.

Sistem BCM ini meningkatkan lagi keselamatan kerana pintu pemandu hanya terkunci dan terbuka secara automatik apabila kunci dicabut. BCM juga mempunyai keupayaan untuk melakukan diagnostik bagi memastikan status kegagalan sesuatu fungsi kawalan serta meningkatkan keselamatan kereta dan meningkatkan hayat bateri menerusi aliran parasitik yang rendah.

Dari segi keselamatan, ia dipasang dengan dua beg udara di bahagian pemandu dan penumpang depan, sistem antikunci brek yang pintar dan sistem edaran tenaga brek elektronik (EBD).

Exora dibina di atas platform serba baru menggunakan teknologi hydroforming, iaitu meluaskan tiub besi menerusi tekanan air dari dalam dalam pembuatan bentuk acuan. Bahagian-bahagian kosong dibentuk dengan bentuk luaran yang rumit dan perwatakan khas yang membolehkan pelbagai pilihan digunakan pada masa depan dalam industri automotif.

Kerangka kecil (sub-frame) Exora adalah sebahagian daripada struktur depan kerana ia menyumbang kepada keutuhan badan dan keselamatan pasif.

No comments: