MUSIM cuti perayaan adalah waktu yang sesuai untuk membawa ahli keluarga bercuti di kawasan pelancongan atau balik kampung bertemu sanak-saudara.
Memandu kenderaan ketika ini memang menyeronokkan, terutama ke destinasi pelancongan.
Bagaimanapun, percutian yang menyeronokkan bakal menjadi mimpi ngeri jika anda tidak merancang perjalanan dengan baik.
Bagi memastikan percutian dan keseronokan berkekalan, pemilik kenderaan perlu melakukan beberapa perkara supaya kenderaan sentiasa dalam keadaan baik.
Tidak kira jenis kenderaan yang digunakan, beberapa pemeriksaan perlu dilakukan sebelum memulakan perjalanan.
Tiga perkara perlu diberi perhatian sebelum dan ketika perjalanan bagi memastikan kenderaan anda berada dalam baik dan selamat digunakan adalah dengan melakukan pemeriksaan sebelum, ketika dan selepas perjalanan.
Pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan penting bagi menentukan sama ada kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Antara bahagian yang perlu diberi perhatian sebelum memulakan perjalanan adalah dengan memeriksa minyak hitam dan air penyejuk enjin berada pada tahap mencukupi.
Mereka memandu kenderaan transmisi automatik, minyak gear perlu diperiksa supaya bahan pelincir itu menepati paras yang ditetapkan.
Bagi perjalanan jauh, anda digalakkan mengisi petrol hingga memenuhi tangki.
Bateri kenderaan juga perlu diperiksa bagi memastikan sistem penalaannya berfungsi dengan baik dan air bateri perlu diisi jika ia kelihatan berkurangan daripada paras normal.
Fungsi bateri amat penting kerana seluruh sistem enjin tidak akan beroperasi jika bateri gagal berfungsi dengan sempurna.
Malah, enjin kereta yang berada dalam keadaan sempurna sekalipun tidak mampu berfungsi tanpa bateri.
Bateri berperanan menghidupkan lampu kereta, di samping menyalakan lampu isyarat, sistem audio dan pelbagai peralatan elektronik lain.
Sistem mekanikal lain juga perlu diberi perhatian seperti tali kipas dan tali 'compressor' alat penghawa dingin bagi memastikan ia tidak longgar ataupun terlalu tegang dan kering kerana ia akan cepat rosak.
Selepas semuanya dalam keadaan baik, barulah boleh memulakan perjalanan yang dirancangkan.
Ketika dalam perjalanan, pemandu perlu melakukan pemeriksaan ketika memandu dengan menggunakan pancaindera seperti mata, telinga dan bau.
Anda perlu waspada sekiranya enjin kereta tiba-tiba berasap atau mengeluarkan bau hangit. Jika perlu, berhenti seketika untuk memeriksa bahagian enjin sekiranya terbau atau terdengar bunyi yang mencurigakan.
Apabila memandu secara berterusan selama tiga atau empat jam, seelok-eloknya berhenti di perhentian rehat yang disediakan selama 45 minit atau satu jam sebelum meneruskan semula perjalanan.
Berehat amat penting kerana selain merehatkan pemandu, berhenti seketika juga mampu menyejukkan enjin kenderaan yang sudah beroperasi selama beberapa jam dengan keadaan jalanraya yang mencabar.
Ketika berhenti berehat, pemandu berpeluang memeriksa tayar sama ada terlalu panas atau tekanan anginnya berkurangan selain memeriksa sistem brek kenderaan.
Peringkat ketiga ialah pemeriksaan selepas perjalanan seperti keadaan enjin sama ada mengalami kebocoran, tekanan suhu, tayar dan sistem brek.
Pemeriksaan selepas perjalanan sangat penting kerana ia bakal memastikan pemandu dapat pulang kembali dengan selamat tanpa menghadapi sebarang kerosakan kenderaan.
Wednesday, April 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment